Susunan Waris Faraid Dalam Pembahagian Harta Pusaka

Susunan Waris Faraid

Susunan Waris Faraid Dalam Pembahagian Harta Pusaka

Bila melibatkan soal pembahagian harta pusaka, masih ramai yang belum faham dengan sepenuhnya terutamanya dalam bab penentuan susunan waris faraid. Bergantung kepada situasi, bukan semua waris berhak untuk mendapat harta pusaka.

Sebab itulah topik susunan waris faraid ini juga perlu diberikan perhatian yang lebih agar hanya mereka yang berhak sahaja dapat mewarisi harta pusaka dan dapat mengelakkan campur tangan pihak yang tiada hak ke atasnya.

Jadi, dalam perkongsian kali ini, kami ingin kongsikan secara terperinci dengan anda mengenai susunan waris faraid dalam pembahagian harta pusaka. Jom baca.

Pembahagian Harta Pusaka Secara Faraid

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T telah menerangkan secara terperinci berkaitan pembahagian harta pusaka ini. Antara yang disentuh di dalam al-Quran adalah bahagian setiap waris, susunan mereka dalam mewarisi harta pusaka dan banyak lagi.

Bahagian-bahagian untuk setiap waris juga berbeza-beza bergantung kepada jauh atau dekat hubungan setiap waris ini dengan si mati. Sebab itulah penting untuk anda memahami susunan waris faraid ini supaya tiada ahli keluarga jauh yang tiba-tiba sahaja muncul dan menuntut harta tanpa adanya ilmu yang betul.

Perlu untuk kita semua tahu bahawa sistem pembahagian harta pusaka secara faraid ini adalah adil dan seimbang. Tiada sedikit keraguan di dalamnya. Menerusi faraid juga, ia akan melindungi bahagian setiap waris dengan sebaiknya.

Hal ini adalah kerana di dalam Islam ingin mengelakkan kita daripada meninggalkan waris dalam kemiskinan. Sebab itu jugalah wasiat dihadkan pada kadar satu pertiga sahaja daripada harta si mati.

Jenis Waris Faraid

Perkongsian ini lebih kepada memberikan anda pendedahan terhadap susunan yang ada. Bukanlah bermaksud bahawa anda tidak perlu untuk mempelajari bab ini dengan lebih mendalam.

Antara jenis waris faraid adalah seperti berikut:

  • Waris Ashab al-Furud
  • Waris Asabah
  • Waris Dhawi al-Arham

Penerangan untuk setiap jenis waris ini pula adalah seperti berikut:

a. Waris Ashab al-Furud

Ashab al-Furud adalah jenis waris yang telah ditetapkan bahagian mereka. Penetapan ini adalah berdasarkan al-Quran, Sunnah dan juga ijmak para ulama.  Berdasarkan al-Quran, jenis waris ini mempunyai hak terhadap harta pusaka secara fardhu.

Bahagian-bahagian mereka juga telah disebutkan secara jelas di mana terdapat enam bahagian berbeza iaitu ½, ¼, ⅛, ⅔, ⅓, dan ⅙.

b. Waris Asabah

Jenis waris ini pula, merupakan waris yang tidak dinyatakan dengan jelas bahagian mereka. Waris-waris ini mempunyai pertalian yang sangat kuat dengan si mati kerana mereka berada di sebelah pertalian  bapa.

Namun begitu, ada kes-kes tertentu di mana mereka akan menerima kesemua harta pusaka sekiranya tiada waris Ashab al-Furud. Ada juga kes di mana mereka akan menerima baki daripada harta pusaka tersebut setelah dibahagikan kepada waris Ashab al-Furud.

Kebanyakan masanya, mereka tidak akan menerima sebarang harta pusaka kerana harta tersebut telah habis dibahagikan kepada waris Ashab al-Furud. Waris Asabah pula terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Asabah bi al-Nafs
  • Asabah bi al-Ghayr
  • Asabah ma al-Ghayr

c. Waris Dhawi al-Arham

Bagi waris yang termasuk dalam kategori waris Dhawi al-Arham pula, dari segi istilah, mereka merupakan waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau pertalian darah dengan si mati selain dari waris Ashab al-Furud dan Asabah samada lelaki atau perempuan.

Sebagai contoh, anak lelaki atau anak perempuan kepada anak perempuan si mati, anak lelaki dan perempuan kepada saudara-saudara perempuan si mati, bapa saudara sebelah ibu, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa kepada ibu dan lain-lain.

Agak susah sebenarnya untuk anda memahami jenis waris ini tanpa melalui guru. Sekali lagi diingatkan bahawa perkongsian kali ini lebih kepada pendedahan jenis waris faraid dan juga susunan waris faraid dalam pembahagian harta pusaka.

Susunan Waris Faraid Dalam Pembahagian Harta Pusaka

Berdasarkan praktis semasa di Malaysia, apabila seseorang itu meninggal dunia dan meninggalkan waris Ashab al-Furud dan waris Asabah, maka kesemua waris ini termasuk dalam kategori waris yang berkelayakan. Mereka ini berhak untuk mewarisi harta pusaka si mati.

Jadi, dari segi susunan waris faraid, ia adalah seperti berikut:

  • Waris Ashab al-Furud
  • Waris Asabah
  • Waris Dhawi al-Arham (baca penerangan dalam bahagian seterusnya)

Kes Istimewa Dalam Susunan Waris Faraid

Ada juga kes di mana si mati hanya meninggalkan waris Dhawi al-Arham atau tidak mempunyai waris Asabah atau langsung tidak mempunyai walau seorang pun waris, maka harta si mati tadi akan diserahkan kepada pihak Baitulmal.

Sebagai sebuah institusi yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir harta pusaka, Baitulmal bertanggungjawab untuk memastikan maslahah umum umat Islam.

Ada kes di mana sekiranya pihak Baitulmal ada menerima harta tak alih daripada si mati, pihak Baitulmal akan memberikan keizinan buat waris-waris yang termasuk dalam kategori tidak berhak seperti:

  • Anak angkat
  • Dhawi al-Arham
  • Lain-lain

Keizinan ini adalah keizinan untuk menebus harta pusaka tersebut. Untuk keadaan sebegini sahajalah baru waris Dhawi al-Arham akan diberi kebenaran untuk menebus harta pusaka si mati.

Kesimpulan Susunan Waris Faraid

Mungkin bagi kita yang belum faham dengan sepenuhnya berkenaan faraid, ada masanya kita merasakan seperti ia tidak adil, dinafikan hak dan macam-macam lagi. Sebenarnya, Islam telah menetapkan hikmah dalam proses ini di mana ia disusun mengikut keutamaan waris-waris yang berhak terlebih dahulu di dalam susunan waris faraid.

Tujuan adanya ketetapan bahagian masing-masing ini adalah untuk menghapuskan sebarang ketidakadilan dalam pembahagian harta pusaka. Tujuannya adalah untuk memastikan waris tidak ditinggalkan dalam kemiskinan dan untuk mengelakkan berlakunya isu sehingga berlaku perbalahan dan perpecahan dalam keluarga.

Harus juga diingat bahawa dengan mewarisi harta pusaka si mati, ia bukan datang dengan kemewahan semata-mata. Datang juga tanggungjawab yang sangat besar bagi memastikan kesejahteraan hidup waris-waris lain.

Bantuan Pengurusan & Pentadbiran Harta Pusaka

Susunan Waris Faraid

Klik butang di bawah jika anda ada masalah tentang pembahagian harta pusaka & perlukan khidmat nasihat daripada perunding pusaka & peguam pusaka kami.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *