Harta Pusaka Kecil – Maksud, Ciri dan Proses Terlibat

Harta Pusaka Kecil

Harta Pusaka Kecil – Maksud, Ciri dan Proses Terlibat

Bila anda mula mengambil tahu akan soal harta pusaka, anda pasti akan mula bertemu dengan terma harta pusaka kecil. Ramai di antara kita yang pastinya akan mula tertanya-tanya apa sebenarnya ia.

Jadi, dalam perkongsian kali ini, kami akan kongsikan dengan anda beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenainya dari segi maksud, ciri-ciri dan juga proses yang terlibat.

Jom baca perkongsian penuh kami disini.

Maksud Harta Pusaka Kecil

Jika ditanya akan maksud atau apa itu harta pusaka kecil, jawapan yang paling mudah untuk diberikan adalah seperti berikut.

Ia merupakan harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa meninggalkan sebarang wasiat. Namun, ia juga haruslah memenuhi beberapa syarat atau ciri-ciri untuk dikira sebagai pusaka kecil.

Ciri-ciri Harta Pusaka Kecil

Antara ciri-ciri yang membolehkan sesuatu harta itu dikira sebagai pusaka kecil adalah seperti berikut:

  • Jumlah nilaian keseluruhan harta tersebut kurang daripada RM2 Juta
  • Ia terdiri daripada harta tak alih samada dalam bentuk tanah atau rumah sahaja
  • Campuran harta tak alih samada rumah atau tanah dan harta alih samada dalam bentuk wang tunai, kenderaan, saham, takaful atau insuran

Pihak Bertanggungjawab

Dalam urusan pembahagian pusaka kecil ini, terdapat Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil ini mempunyai 36 unit yang beroperasi di seluruh negara. 

Tugas dan peranan setiap unit ini adalah sama iaitu setiap unit bertanggungjawab untuk:

  • Menerima permohonan
  • Membicarakan
  • Mengeluarkan perintah pembahagian terhadap dua atau tiga daerah jagaan

Ada juga kes yang berlaku di daerah yang tidak mempunyai unit pusaka kecil. Bagi daerah-daerah ini, urusan berkaitan penerimaan permohonan menggunakan Borang A dan juga Borang P boleh dilakukan menerusi Pejabat Tanah di daerah-daerah berkenaan.

Proses Pengurusan Harta Pusaka Kecil

Kami pecahkan proses ini kepada 9 aliran proses seperti berikut:

  • Berlaku kematian
  • Harta milik si mati dibekukan
  • Penyediaan dokumen dan borang permohonan surat kuasa mentadbir dan pembahagian. Perbicaraan (Borang A dan Borang P) di Unit Pembahagian Pusaka (UPP) di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG)
  • Permohonan anda akan diproses oleh Unit Pembahagian Pusaka.
  • Anda kemudiannya akan menerima Notis Perbicaraan.
  • Perlu menghadiri perbicaraan dan membawa dokumen asal.
  • Mendapat Perintah Pembahagian / Surat Kuasa Mentadbir (Distribution Order).
  • Proses untuk menyelesaikan hutang, pembahagian dan pindahmilik harta pusaka kepada ahli waris akan dilakukan.
  • Selesai proses pengurusan dan pentadbiran harta pusaka kecil.

Kebiasaannya tempoh masa yang diambil untuk proses pengurusan harta pusaka ini adalah sekitar 5 bulan minimum bagi permohonan baru. 

Bagi sebarang kes yang melibatkan kematian berlapis dan harta berada di dalam daerah yang berlainan juga akan memberikan kesan terhadap tempoh masa.

Namun, semua ini bergantung kepada berapa cepat anda dapat menyediakan dokumen dan juga tarikh perbicaraan.

Baca Juga: Soalan Lazim Pengurusan Harta Pusaka

Dokumen Yang Terlibat

Berdasarkan Pembahagian Harta Pusaka Kecil (Seksyen 8) – Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995:

  • Setiap permohonan untuk proses pembahagian harta pusaka kecil ini hendaklah dibuat dalam Boran A.
  • Setiap permohonan juga perlulah disertakan dengan:
    • Bukti Kematian
    • Sijil Kematian/Permit Menguburkan atau
    • Surat Akuan Sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan, contohnya bagi kematian semasa pendudukan Jepun dan sebelumnya; atau
    • Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh  Mahkamah Tinggi dalam keadaan  seperti kematian tanpa kubur, hilang semasa pendudukan Jepun, tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya  kejadian.
  • Dokumen Harta Tak Alih – Salinan hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah  atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati atau surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan, salinan resit cukai pintu bagi kediaman/bangunan Hak Milik Strata yang belum dikeluarkan dan resit cukai tanah (jika ada).
  • Salinan dokumen harta – harta alih seperti salinan sijil saham, salinan buku akaun simpanan, salinan hak milik kenderaan, salinan penyata KWSP dan sebagainya yang terkini.

Siapa Yang Layak Memohon Sebagai Pemohon Pengurusan Harta Pusaka Kecil?

Bagi proses pengurusan ini, ada beberapa pihak yang boleh memohon. Antara pihak-pihak tersebut adalah:

  • Waris samada balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Baitulmal dan lain-lain
  • Pemiutang
  • Pengkaveat
  • Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah
  • Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah si mati
  • Penghulu atau Pegawai Petempatan di bawah arahan Pentadbir Tanah
  • Amanah Raya Berhad

Kenapa Permohonan Harta Pusaka Kecil Perlu dibuat Segera?

Ada beberapa sebab kenapa setiap urusan pengurusan harta pusaka perlu dibuat dalam kadar segera. Antara sebab-sebab utamanya adalah:

  • Mengelakkan isu berlaku seandainya berlaku kematian berlapis
  • Memastikan proses pembahagian pusaka ini dapat dilakukan dengan mudah
  • Membolehkan harta pusaka ini dapat dimanfaatkan dengan segera oleh semua waris
  • Mengelakkan sebarang tanah menjadi tanah terbiar
  • Mengelakkan wang simpanan, koperasi, saham, bon dan sebagainya milik si mati dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut

Kesimpulan

Sekian sahaja perkongsian daripada kami berkenaan harta pusaka kecil. Diharapkan menerusi perkongsian ini, anda mendapat banyak manfaat daripadanya.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kekeliruan berkenaan harta pusaka, rujuklah mereka yang pakar.

Hal ini adalah penting bagi memastikan segala urusan berkaitan pengurusan harta pusaka anda dapat dijalankan dengan sebaiknya.

Bantuan Pengurusan & Pentadbiran Harta Pusaka

Pengurusan Harta Pusaka

Klik butang di bawah jika anda ada masalah tentang pembahagian harta pusaka & perlukan khidmat nasihat daripada perunding pusaka & peguam pusaka kami.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *