PENGURUSAN & PENTADBIRAN HARTA PUSAKA
Proses Pengurusan & Pentadbiran Harta Pusaka (Tuntutan & Pembahagian)
Definisi Harta Pusaka
Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.
Harta si mati secara lazimnya terdiri daripada: Harta Alih iaitu wang tunai, barang kemas, kenderaan dsb; & Harta Tak Alih iaitu hartanah seperti rumah dan tanah.
DI MANA TUNTUTAN PUSAKA DIBUAT?
MAHKAMAH TINGGI
- Harta Pusaka Besar.
- Jumlah keseluruhan harta pusaka bernilai lebih dari RM2 Juta.
- Harta pusaka terdiri dari Harta Tak Alih / Harta Alih / Harta Tak Alih dan Harta Alih.
UNIT PUSAKA KECIL-JKPTG
- Harta Pusaka Kecil.
- Jumlah keseluruhan harta pusaka bernilai kurang dari RM2 Juta.
- Harta pusaka WAJIB terdiri dari Harta Tak Alih / Harta Tak Alih dan Harta Alih.
- Tiada wasiat
AMANAH RAYA BERHAD
- Harta Pusaka Ringkas.
- Jumlah keseluruhan harta pusaka bernilai RM600,000.00 dan ke bawah.
- Harta pusaka terdiri dari Harta Alih sahaja.
Cara pembahagian harta pusaka
1. Pembahagian secara faraid
- Pembahagian harta mengikut kaedah & hukum faraid. Antara waris yang layak ialah ayah, ibu, isteri, anak-anak & lain-lain
2. Pembahagian secara muafakat
- Memerlukan persetujuan dari semua/setiap waris tentang pembahagian yang dicadangkan, Jika ada waris yang tidak bersetuju maka perlu dibahagi mengikut faraid.
Pemohon harta pusaka
- Suami / Isteri, Ayah & Ibu, Anak (Lelaki & Perempuan)
- Penerima Wasiat, Pemberi Hutang, Pemegang Amanah, Penerima Amanah & Pemegang Surat Kuasa Wakil
- Lain-lain: Pembeli, Pemegang Gadaian Baitulmal, Penghulu, Pegawai Penempatan, Amanah Raya Berhad
Tidak semua waris perlu hadir untuk permohonan, hanya pemohon sahaja.
Tempoh masa untuk pengurusan & pentadbiran harta pusaka
- Harta alih sahaja: 4-6 bulan
- Jika melibatkan harta tidak alih: lebih kurang 12 bulan
**Perlu diingatkan bahawa tempoh masa pemprosesan ini juga bergantung kepada maklum balas dan kerjasama daripada waris dan pihak ketiga.
Dokumen yang diperlukan untuk proses pengurusan
- Salinan sijil kematian simati
- Salinan kad pengenalan & sijil lahir waris (depan & belakang)
- Salinan sijil perkahwinan / daftar perkahwinan simati
- Salinan geran lengkap berserta pelan tapak (bagi harta tidak alih yang dituntut) atau
- Salinan surat perjanjian jual beli harta atau daftar pegangan (harta tidak alih yang tidak ada geran)
- Salinan bil / resit cukai pintu
- Salinan penyata hutang simati (jika ada)
- Salinan dokumen yang terkini berkaitan pemilikan harta alih simati: akaun simpanan, sijil saham, insurans, geran kenderaan dan dokumen yang berkaitan.
- Salinan sijil faraid
Sijil faraid boleh dimohon di Mahkamah Syariah. Keperluan sijil faraid bergantung kepada tempat pemohon menguruskan harta pusaka. Antara keperluan sijil faraid ialah bila:
- Pengurusan di Amanah Raya (untuk harta alih sahaja)
- Harta simati (harta alih /tidak alih) bernilai RM2j ke atas (Mahkamah Tinggi)
- Sebab-sebab lain yang tertentu yang memerlukan sijil faraid sebagai bukti maklumat waris
**Perintah Faraid adalah satu akuan rasmi yang mengandungi maklumat tentang nilaian harta pusaka si mati dan waris-waris berhak yang beragama Islam serta bahagian-bahagian yang berhak mereka peroleh ke atas harta pusaka selepas dibuat pengiraan faraid yang telah disahkan dan dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah melalui kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang.
PROSEDUR PERMOHONAN PENGURUSAN HARTA PUSAKA
MAHKAMAH TINGGI [PUSAKA BESAR]
Harta Pusaka Besar adalah harta peninggalan simati yang nilaian keseluruhannya melebihi RM2 juta. Prosedur ini juga terpakai bagi simati bukan Islam yang meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1959 [Akta 364].
Pengurusan Harta Pusaka Besar adalah tertakluk dibawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 [Akta 97]. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil dan hendaklah melalui lantikan peguam atau pihak yang berkepentingan.
Permohonan bagi pengurusan harta pusaka besar terdiri daripada 2 peringkat yang diperlu disempurnakan (MANDATORI) iaitu :
- Permohonan mendapatkan Grant of Letter of Administration (Surat Kuasa Mentadbir); dan
- Permohonan untuk membuat Pembahagian.
Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir. Setelah Surat Kuasa Mentadbir simati diperolehi, Pentadbir hendaklah mendaftarkan Surat Kuasa Mentadbir tersebut di Pejabat Tanah yang berkenaan supaya semua pendaftaran hak milik simati didaftarkan atas nama Pentadbir.
Pentadbir bertanggungjawab untuk mengumpulkan kesemua maklumat harta-harta simati dan menyelesaikan liabiliti-liabiliti simati termasuklah kos belanja pengebumian dan hutang-piutang simati. Pentadbir kemudiannya bertanggungjawab memohon perintah pembahagian daripada Mahkamah Tinggi yang sama.
Jika melibatkan simati Islam, Pentadbir hendaklah mendapatkan Sijil Faraid terlebih dahulu dari Mahkamah Tinggi Syariah. Pembahagian tersebut boleh dibuat mengikut hukum faraid atau secara muafakat.
Bagi simati bukan Islam yang ada meninggalkan wasiat yang sah, pembahagian akan dibuat berdasarkan wasiat tersebut. Manakala jika tiada wasiat, pembahagian akan dibuat mengikut Akta Pembahagian 1959 [Akta 300] atau secara muafakat mengikut persetujuan waris
UNIT PUSAKA KECIL-JKPTG [PUSAKA KECIL]
Harta Pusaka Kecil adalah harta peninggalan simati yang terdiri daripada harta tak alih (tanah/rumah) samada sebahagian atau keseluruhan dengan nilaian di bawah RM2 juta.
Pengurusan Harta Pusaka Kecil adalah tertakluk di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].
Permohonan hendaklah dibuat di Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) atau Pejabat Tanah dimana terletaknya harta tak alih simati. Jika simati mempunyai beberapa hakmilik tanah dibeberapa daerah atau negeri, waris boleh memilih untuk mengemukakan permohonan di salah satu daerah atau negeri mengikut kemudahan waris. Pilihan pertama permohonan dimasukkan di daerah atau negeri yang dibuat tersebut akan mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk boleh menyelesaikan semua harta pusaka simati yang berada di pelbagai daerah atau negeri yang lain.
Waris adalah digalakkan untuk menguruskan sendiri permohonan pusaka kecil. Walaubagaimanapun, waris masih mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat peguam atau Amanah Raya Berhad.
Perbicaraan
Petisyen/permohonan yang telah diproses akan melalui perbicaraan. Waris-waris simati dan pihak berkepentingan akan diberikan Notis Perbicaraan yang menyatakan tarikh, masa dan tempat perbicaraan. Pempetisyen/pemohon wajib menghadiri perbicaraan yang telah ditetapkan. Kehadiran pempetisyen/pemohon dan waris-waris perlu membawa dokumen-dokumen asal pada hari perbicaraan.
Perintah Pembahagian
Perintah yang telah diperolehi perlu didaftarkan di Pejabat-pejabat Tanah yang berkenaan (dimana hakmilik hartanah simati didaftarkan).
Manakala bagi harta alih adalah dirujuk kepada institusi berkaitan.
Contoh :
- Hakmilik kenderaan – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
- Saham ASB – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
- Wang Simpanan – bank berkaitan
AMANAH RAYA BERHAD [PUSAKA RINGKAS]
Harta pusaka ringkas adalah harta peninggalan simati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dengan nilaian keseluruhan tidak melebihi RM600K.
Contoh harta alih adalah:
- Wang Simpanan
- Saham (Contoh : ASNB, KWSP, Tabung Haji)
- Kenderaan
- Insurans
Permohonan untuk pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat kepada Amanah Raya Berhad berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 [Akta 532]. Harta simati akan ditadbir oleh Amanah Raya Berhad termasuk penyelesaian hutang simati, kos belanja pengebumian dan sebagainya sebelum harta tersebut dibahagikan kepada waris-waris simati. Pembahagian akan dilaksanakan samada mengikut faraid bagi orang Islam dan Akta Pembahagian 1958 [Akta 300] bagi orang bukan Islam. Pembahagian juga boleh dibuat secara muafakat tertakluk kepada persetujuan semua waris.
Pengurusan harta pusaka ringkas yang ditadbir oleh Amanah Raya Berhad akan dikenakan bayaran mengikut fi yang ditetapkan oleh Perbadanan tersebut.
MASALAH YANG SERING DIHADAPI BERKENAAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA
Untuk menguruskan harta pusaka (tuntutan & pembahagian), pemohon mestilah membuat permohonan kepada institusi pengurusan harta pusaka (Amanah Raya Berhad / Unit Pusaka Kecil JKPTG / Mahkamah Tinggi) mengikut nilai & jenis harta pusaka simati.
Secara asasnya, pengurusan harta pusaka tidaklah begitu sukar jika mempunyai dokumen yang lengkap dan kesemua waris memberi kerjasama.
Namun begitu terdapat beberapa situasi dimana proses pengurusan harta pusaka ini menjadi begitu rumit & sukar seperti:
- Tidak tahu harta-harta (nilai & jenis) yang dimiliki si mati
- Ada waris simati yang tidak boleh di kesan
- Ada waris si mati yang tidak mahu memberi kerjasama
- Tidak ada persetujuan di antara waris untuk lantik pentadbir
- Ada waris tidak bersetuju & pertikaikan tentang pembahagian
- Tidak tahu prosedur untuk membuat permohonan untuk mengurus harta pusaka
- Ada pihak tidak dikenali menuntut harta simati / mengaku sebagai waris simati
- Terlalu ramai waris berlapis-lapis dan sukar untuk di kesan
- Pentadbir meninggal dunia sebelum urusan harta simati sempat diurus tadbir
Adakah anda sedang mengalami kesulitan membuat tuntutan harta pusaka seperti di atas?
Masalah berkenaan proses tuntutan harta pusaka memang sesuatu memeningkan bila melibatkan ramai waris yang berlapis-lapis, waris tidak memberi kerjasama atau pentadbir meninggal dunia sebelum urusan harta simati selesai diurustadbir.
Masalah ini menyebabkan tuntutan harta pusaka tidak selesai & berlarutan sehingga bertahun-tahun.
Mahukah kami bantu anda menyelesaikan masalah pengurusan harta pusaka keluarga anda?
Bantuan Pengurusan & Pentadbiran Harta Pusaka
Di SolusiKini, kami bersama rakan usahasama HSKEE LAW FIRM yang terdiri daripada barisan Peguam Yang Pakar Serta Berpengalaman Sejak 2008 Dalam Pentadbiran & Pengurusan Harta Pusaka telah membantu ramai klien kami yang mempunyai masalah rumit berkaitan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka.
HSKEE LAW FIRM RAKAN USAHASAMA SOLUSIKINI
Apa Yang Kami Boleh Bantu Dalam Menguruskan Harta Pusaka Keluarga Anda
- Kenalpasti harta serta asset dan liabiliti si mati yang boleh diwarisi.
- Kenalpasti waris serta orang yang mempunyai hak ke atas harta si mati.
- Memohon sijil faraid daripada mahkamah syariah (jika perlu)
- Mendapat surat kuasa mentadbir harta pusaka si mati.
- Mentadbir & menguruskan harta pusaka sehingga selesai pembahagian.
Klik tab di bawah untuk membaca kajian kes (case study) klien yang pernah mengalami masalah berkaitan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka serta penyelesaian terhadap setiap masalah tersebut.
Fakta Kes:
Seorang bapa saudara berhasrat untuk memberi hakmilik sebuah hartanah kepada 3 orang anak buahnya, Ifzan, Aidil dan Shariski yang mana pada masa itu mereka semua adalah di bawah umur (minor).
Satu surat ikatan Amanah telah dibuat oleh beliau (Pemegang Amanah) untuk memegang hartanah tersebut atas amanah dan pemegang hakmilik untuk ketiga-tiga anak buahnya itu (benefisiari).
Beliau telah mengisytiharkan diri sebagai pemegang Amanah tunggal dan tidak menamakan atau menyatakan tentang perlantikan pemegang Amanah yang baharu selepas kematian beliau.
Kematian beliau telah menyebabkan hartanah yang dipegang tersebut tidak boleh dilakukan apa apa ke atasnya sebarang langkah perlaksanaan (execution) untuk selama kira-kira 10 tahun.
Ifzan, atas nasihat dan melalui peguamcaranya, Tetuan Hifdzi Salmiah Kee Hanisah & Co. telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil untuk melantik diri sebagai pemegang amanah yang baharu untuk melaksanakan Amanah tersebut dan supaya hartanah itu dapat diletakkan kepada dirinya dan juga benefisiari yang lain. Segala kertas-kertas kausa dan dokumen-dokumen yang diperlukan bagi permohonan tersebut telah disediakan oleh pihak peguam.
Persetujuan daripada dua orang benefisiari lain juga telah diperoleh untuk melantik Ifzan sebagai Pemegang Amanah yang baharu melalui perjanjian “Deed of Trust” yang telah dimasuki dan ditandatangani oleh mereka. Tambahan lagi, Ifzan ialah salah seorang benefisiari kepada hakmilik hartanah tersebut mengikut surat ikatan amanah yang terdahulu, justeru dia jelas mempunyai kepentingan and berhak (absolutely entitled) kepada hartanah tersebut.
Keputusan:
Mahkamah telah mengeluarkan satu perintah untuk melantik Ifzan sebagai Pemegang Amanah yang baharu untuk Amanah yang telah diwujudkan oleh arwah bapa saudaranya.
Ifzan juga diberi kuasa untuk melantik Pemegang Amanah yang lain jika perlu dan dia bebas untuk
memohon kepada Mahkamah untuk satu perintah atau arahan yang berkaitan dengan pelaksanaan
Amanah tersebut.
Mahkamah turut memberi suatu perintah perletakhakan (Vesting Order) bagi hartanah tersebut kepada Ifzan sebagai Pemegang Amanah.
1. Puan Zuraina merupakan pemilik terkini bagi sebuah hartanah yang telah dibeli oleh beliau daripada seorang Individu A. Individu A tersebut telahpun mengusahakan dan menguruskan hartanah tersebut selama hampir 20 tahun.
2. Individu A telah membeli hartanah tersebut daripada Individu B namun sebenarnya, hartanah tersebut masih lagi di bawah nama seorang Individu D sepertimana yang tertera di dalam geran hartanah tersebut.
3. Individu D telahpun meninggal dunia dan Individu C, seorang waris, telah dilantik sebagai Representative kepada Individu C. Belum sempat sebarang proses pertukaran nama atas geran dibuat, Individu C meninggal dan hartanah tersebut diuruskan kepada warisnya, Individu B.
4. Setelah itu, berlakulah urusan jual beli antara Individu B dan Individu A danseterusnya antara Individu A kepada Puan Zuraina. Namun, sepanjang kesemua transaksi tersebut, nama yang tertera di atas geran masih lagi tertera nama Individu D sebagai pemilik dan Individu C sebagai Representative.
Sebagai usaha untuk membetulkan keadaan yang dihadapai oleh Puan Zuraina, pihak kami telah membuat permohonan untuk suatu perintah perletakhakkan dan juga beberapa deklarasi seperti:
- Deklarasi Individu C adalah Representative kepada pemilik asal,
Individu D; - Deklarasi bahawa Individu B adalah waris kepada Individu C;
- Deklarasi bahawa transaksi jual beli hartanah antara Individu B dan
Individu A adalah sah dan mengikat waris-waris Individu B; dan - Deklarasi bahawa transaksi jual beli hartanah antara Individu A dan
Puan Zuraina adalah sah dan mengikat waris-waris Individu B dan
Individu C.
- Deklarasi Individu C adalah Representative kepada pemilik asal,
6. Kes ini juga menarik kerana terdapat isu berkaitan ejaan nama yang berbeza- beza bagi Individu C, walaupun pada hakikatnya merujuk kepada orang yang sama. Dalam kes ini, Individu C mempunyai beberapa ejaan nama yang berbeza di beberapa dokumen yang berlainan sekaligus menyukarkan proses identifikasi untuk dilakukan.
7. Perkara ini dapat diselesaikan menerusi suatu akuan berkanun daripada waris Individu B dan C, yang menyatakan nama-nama berlainan ejaan tersebut merujuk kepada orang yang sama berdasarkan bukti-bukti yang diberikan dan suatu deklarasi daripada mahkamah berjaya diperoleh bahawa nama-nama yang berlainan ejaan tersebut adalah merujuk kepada individu yang sama.
Fakta Kes:
- Kes telah berlanjutan semenjak surat kuasa mentadbir diperoleh pada sekitar tahun 1980an apabila Surat Kuasa Mentadbir kali pertama diperolehi.
- Anakguam sebagai waris mengalami kesulitan apabila harta-harta pusaka yang belum selesai diturunmilik kepada waris-waris apabila Pentadbir bagi urusan pusaka simati telah meninggal sebelum urusan harta simati selasai diurustadbir.
- Keadaan semakin sulit apabila melibatkan waris berlapis , akibat daripada kematian-kematian di antara waris-waris lapisan pertama, lapisan kedua, lapisan ketiga, dan lapisan ke-empat. Keadaan ini semakin sulit apabila terdapat dikalangan waris yang berpoligami dan meninggalkan waris berlapis.
- Ke semua waris berlapis ini adalah berjumlah 83 orang. Pada awalnya terdapat persengketaan di antara waris-waris, namun keadaan tersebut telah dijernihkan.
- Suatu tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Sivil telah dimulakan dikenali sebagai “De Non Bonis” prosiding bagi melantik pentadbir yang baru bagi menyelesaikan pengurusan harta pusaka simati pada sekitar 2019.
- Suatu tindakan di Mahkamah Tinggi Syariah juga telah dibuat oleh anakguam, dimana pihak peguam telah Menyusun atur kertas kausa dan dokumen-dokumen lampiran yang diperlukan oleh Mahkamah. Tindakan di Mahkamah Syariah hanyalah semata-mata bagi mendapatkan sijil faraid memandangkan melibatkan waris berlapis, dimana Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidangkuasa dalam menentukan siapakah waris-waris yang berhak semasa prosiding De Non Bonis tersebut.
- Sijil Faraid di Mahkamah Tinggi Shariah dan juga Surat Kuasa Mendabir lanjutan, daripada Mahkamah Tinggi Sivil telah selesai pada sekitar 2021.
- Kes mengambil masa yang lama akibat daripada proses mengumpul waris-waris, berserta dokumen-dokumen sokongan seperti sijil kematian waris berlapis, sijil beranak waris berlapis, dan juga sijil kematian waris berlapis yang diperlukan bagi rujukan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Maklumbalas Klien Kami
Klik butang whatsapp atau scan qr code di bawah jika anda mempunyai pertanyaan atau masalah berkaitan pengurusan harta pusaka & perlukan bantuan. Team kami (rakan usahasama peguam harta pusaka) akan membantu anda.
Klik butang whatsapp di bawah jika anda mempunyai pertanyaan atau masalah berkaitan pengurusan harta pusaka & perlukan bantuan. Team kami (rakan usahasama peguam harta pusaka) akan membantu anda.
Kami bantu anda selesaikan masalah tuntutan harta pusaka keluarga anda
Isi borang di bawah dan team SolusiKini akan hubungi anda semula untuk atur tarikh & masa konsultasi bersama rakan usahasama peguam harta pusaka kami di pejabat HSKEE LAW FIRM di Vista Alam, Sekyen 14 Shah Alam atau Secara Online Melalui Aplikasi Zoom.
Konsultasi ini adalah selama 30 minit & berharga RM500 100% PERCUMA!