Di dalam perkongsian sebelum ini, ada dikongsikan mengenai syarat kelayakan LPPSA. Seperti yang kita semua sedia maklum, untuk sebarang bentuk pembelian dan pembiayaan perumahan, pasti adanya peguam yang terlibat. Begitu juga untuk LPPSA, di mana peguam LPPSA akan terlibat.
Khas untuk anda kali ini, kami akan kongsikan dengan anda mengenai peranan dan skop tugas peguam LPPSA supaya anda mempunyai gambaran yang lebih jelas sebelum anda memulakan sebarang urusan dengan mereka. Jom baca.
Mengenai Peguam LPPSA
Siapa sebenarnya peguam LPPSA atau siapa yang layak untuk menjadi peguam LPPSA ini? Sebenarnya semua firma guaman boleh untuk menjadi Panel Peguam LPPSA.
Apapun, beberapa syarat perlulah dipatuhi dan dipenuhi terlebih dahulu termasuklah melakukan permohonan untuk disenarai di laman LPPSA. Antara maklumat yang diperlukan adalah:
- Nama firma guaman
- Alamat firma guaman
- Beberapa maklumat lain yang diperlukan oleh LPPSA
Apapun, pastikan anda menyemak dahulu senarai di laman LPPSA kerana risau anda berurusan dengan mereka yang tidak bertauliah atau scammer. Selain itu, elakkan juga berurusan dengan mereka yang tidak mempunyai Sijil Amalan yang terkini.
Hal ini kerana ia termasuk di bawah kesalahan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 selain anda berisiko untuk ditipu dan mengalami kerugian asbab daripada tindakan tersebut.
Bidang Kuasa Peguam LPPSA
Soalan paling utama yang perlu anda mencari jawapannya adalah bila sebenarnya anda memerlukan peguam LPPSA? Ada beberapa keadaan di mana anda memerlukan Panel Peguam LPPSA.
Anda boleh baca perincian lebih lanjut di dalam Pekeliling Pembiayaan Perumahan LPPSA Bil 1/2018 dan Garis Panduan Pembiayaan Perumahan LPPSA Bil 2/2018.
Antara tugas utama peguam LPPSA adalah apabila melibatkan situasi berikut:
1. Sebagai pemegang taruh bagi transaksi perjanjian dengan LPPSA
Peguam akan melaksanakan tugas mereka sebagai pemegang taruh iaitu mereka akan memegang aset atau sebarang dokumen penting yang terlibat sehinggalah termetera terma perjanjian diantara anda dan juga LPPSA.
Dalam soal berkaitan wang pula, peguam akan menyimpan wang di dalam sebuah akaun klien dan akan diselia mengikut akta berkaitan.
2. Pengurusan cagaran hartanah
Jika ia melibatkan harta dan aset untuk dicagarkan kepada pihak LPPSA, anda memerlukan peguam untuk menyediakan dokumen berkaitan. Selain itu, peguam juga akan berurusan dengan pihak kerajaan bagi urusan ini.
3. Menebus hutang dan gadaian menggunakan pembiayaan LPPSA
Peguam LPPSA juga diperlukan bagi urusan ini. Mereka akan memasukkan kaveat di atas nama pihak LPPSA sebelum diserahkan kepada institusi kewangan atau vendor untuk memegang gadaian hartanah tersebut.
Begitu juga untuk sebarang permohonan menjual, memindah milik atau mencagar tanah yang telah digunakan untuk cagaran pembiayaan LPPSA. Pihak lembaga akan mengeluarkan penyata tebus hutang untuk memaklumkan berapa nilai yang pelanggan berhutang dengan LPPSA. Bagi perkara ini, permohonan hanya dibenarkan melalui peguam.
4. Pengurusan pembiayaan menerusi “Loan Management System”
Untuk pengetahuan anda, segala urusan dokumentasi perundangan pembiayaan LPPSA adalah melalui platform atas talian yang digunakan oleh pihak LPPSA. Untuk sebarang urusan seperti transaksi, kemaskini dan penyertaan maklumat, hanya peguam LPPSA sahaja yang diberikan akses.
5. Urusan melibatkan kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan
Peguam diperlukan bagi urusan berkaitan kerajaan negeri terutama dalam soal pejabat tanah dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Tanggungjawab Anda Terhadap Peguam LPPSA
Ramai yang sering menyalahkan pihak lain seperti peguam atau pihak bank jika ia melibatkan urusan pembiayaan atau pinjaman perumahan. Jadi, adalah penting untuk anda memahami terlebih dahulu apa tanggungjawab anda terhadap peguam LPPSA ini.
Hal ini adalah untuk memastikan para peguam dapat menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya. Apa yang anda perlu pastikan dari pihak anda adalah:
- Menandatangani borang pindah milik hartanah (Borang 14A) jika tanah belum dipindah ke atas nama pelanggan bagi tujuan cagaran.
- Membantu dan bekerjasama bersama panel peguam LPPSA untuk membolehkan mereka menyelesaikan proses cagaran ke atas tanah.
- Membayar perkhidmatan peguam jika fi yang dikenakan tidak ditanggung LPPSA.
- Membayar sebarang kos gadaian tanah yang dikenakan kerajaan.
- Memberi maklumat yang diperlukan setelah peguam dilantik.
- Tidak menukar peguam LPPSA yang berlainan setelah Borang E telah dihantar kepada LPPSA.
Yuran Guaman
Para peguam LPPSA wajib untuk mengikuti skala fi guaman seperti apa yang telah termaktub di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 di bawah Perintah Saraan Peguamcara.
Hal ini adalah mengenai kaedah pengiraan kos dan fi. Namun, ia tidak termasuk dengan sebarang bentuk kos cukai dan disbursement yang perlu untuk dibayar kepada pihak kerajaan atau pihak ketiga bagi melengkapkan sebarang proses transaksi yang terlibat.
Kesimpulan
Sekian sahaja perkongsian kali ini mengenai peguam LPPSA dari segi peranan dan juga skop tugas. Penting untuk anda mendapatkan khidmat daripada peguam yang bertauliah dan berdaftar dengan LPPSA.
Semoga perkongsian kali ini memberikan banyak manfaat buat anda.
Baca Juga : Skop, Jenis & syarat pembiayaan LPPSA
Bantuan Permohonan & Peguam LPPSA
Klik button di bawah jika anda ingin kami bantu mohonkan pembiayaan LPPSA secara percuma. Kami merupakan rakan partner kepada HSKEE Law Firm yang merupakan peguam berdaftar dengan LPPSA.