Cara & Kaedah Pembahagian Harta Pusaka

Peguam harta pusaka

Cara & Kaedah Pembahagian Harta Pusaka

Isu pembahagian harta pusaka sudah menjadi isu yang sangat kerap dikongsikan di media sosial dan juga internet. Banyak kisah-kisah yang tidak enak kita baca dan dengari.

Semuanya berpunca daripada kurangnya ilmu mengenai pembahagian harta pusaka terutamanya ilmu faraid. Tidak kurang juga yang memberikan mandat ini kepada adik beradik yang paling tua untuk mengurus dan membahagikan kesemuanya.

Jika semuanya berlandaskan ilmu dan sifat amanah yang sepatutnya, akan tiada isu dalam pembahagian harta pusaka ini. Namun, apa yang menjadi masalah dalam isu ini adalah bila tiada ilmu dan ketamakan mula menguasai diri.

Namun, kerana harta, suami isteri boleh bercerai. Juga kerana harta, adik beradik boleh berpecah belah. Sebab itulah dalam perkongsian kali ini kami akan sentuh dengan lebih mendalam mengenai pembahagian harta pusaka menggunakan dua kaedah yang berbeza iaitu pembahagian harta pusaka secara faraid dan juga pembahagian harta pusaka secara muafakat.

Maksud Harta Pusaka

pengurusan harta pusaka

Harta pusaka merujuk kepada segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan kepada waris-waris sah samada dalam bentuk harta, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.

Begitulah maksud harta pusaka menurut Majlis Agama Islam Selangor. Namun, yang menjadi persoalan seterusnya pula adalah apa yang dikategorikan sebagai harta pusaka dan apa yang bukan.

Termasuk sebagai harta pusaka:

  • Segala harta si mati yang diperolehinya secara halal semasa hayatnya
  • Segala bentuk sewaan yang belum dijelaskan kepada si mati
  • Hutang daripada sesiapa yang dijelaskan kepada si mati selepas kematian
  • Faedah atau dividen daripada harta si mati
  • Simpanan KWSP si mati samada ia mempunyai penama atau tanpa penama
  • Penama Takaful
  • Barang yang terbit selepas mati seseorang individu hasil daripada usahanya sewaktu hidup

Tidak termasuk sebagai harta pusaka:

  • Harta yang telah dijual, dihibah, diwakaf atau dipegang amanah oleh si mati
  • Khairat kematian
  • Hasil pemberian daripada mereka yang datang untuk menziarahi kematian si mati
  • Sebarang bentuk pampasan, imbuhan dan juga sagu hati
  • Pencen terbitan
  • Bayaran-bayaran yang diterima di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)

Cara Pembahagian Harta Pusaka

pembahagian harta pusaka

Seperti yang dikongsikan pada awal artikel tadi, harta pusaka boleh dibahagikan secara faraid dan juga secara muafakat. Penerangan lebih terperinci untuk setiap satunya adalah seperti berikut:

1. Faraid

Dari sudut istilah syarak, faraid membawa maksud pembahagian harta seorang yang beragama Islam yang telah meninggal dunia samada meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya.

Harta tersebut akan dibahagikan kepada waris-waris sah seperti:

  • Anak
  • Isteri
  • Suami
  • Ibu
  • Dan lain-lain

Persoalannya, berapa jumlah harta yang perlu dibahagikan? Ia adalah jumlah bersih selepas ditolak segala perkara berkaitan pengurusan jenazah, hutang pewaris samada dalam bentuk zakat atau nazar dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

Apapun, bentuk wasiat yang dibenarkan oleh syarak adalah wasiat yang tidak melebihi ⅓ daripada jumlah harta. Jenis dan bentuk harta yang boleh melalui pembahagian harta secara faraid adalah:

  • Tanah
  • Bangunan (rumah)
  • Segala jenis barang kemas
  • Semua bentuk insurans dan wang tunai samada ia dilaburkan atau sebaliknya
  • Binatang-binatang ternakan yang ada seperti kambing, lembu, unta dan kerbau

Contoh Pengiraan Faraid

Contoh pengiraan adalah seperti berikut di mana terdapat seorang suami yang merupakan ketua keluarga yang mempunyai seorang isteri dan lima (5) orang anak iaitu dua (2) anak lelaki dan tiga (3) anak perempuan.

Suami ini masih lagi mempunyai ibu bapanya. Katakanlah ajal suami ini telah tiba, maka turutan berikut adalah turutan waris yang layak untuk menerima harta pusaka daripada si mati:

  1. Bapa si mati
  2. Ibu si mati
  3. Isteri si mati
  4. Dua (2) anak lelaki
  5. Tiga (3) anak perempuan

Jadi, setelah ditolak segala yang terlibat iaitu kos pengurusan jenazah, hutang dan wasiat, katakanlah baki harta pusaka si mati adalah sebanyak RM500,000. Pembahagian harta pusaka sebanyak RM500,000 ini pula perlulah dibahagikan seperti berikut:

  1. Bapa si mati – 1/6
  2. Ibu si mati – 1/6
  3. Isteri si mati – 1/8
  4. Dua (2) anak lelaki – 2 bahagian setiap seorang daripada lebihan setelah bapa, ibu dan isteri
  5. Tiga (3) anak perempuan – 1 bahagian setiap seorang daripada lebihan setelah bapa, ibu dan isteri

2. Muafakat

Agak jarang sebenarnya untuk kita mendengar pembahagian harta pusaka secara muafakat ini. Hal ini kerana kebanyakan kes dan isu yang berlaku adalah tanpa mengikut hukum dan ilmu yang sebenar-benarnya.

Memetik sebuah perkongsian oleh Roslina Sabiyah menerusi laman Facebook milik beliau, ada dikongsikan beberapa situasi untuk memudahkan pemahaman kita semua mengenai konsep pembahagian secara muafakat ini.

Kaedah muafakat ini juga dikenali sebagai kaedah takharruj. Dalil untuk kaedah ini ada dinyatakan di dalam Surah al-Nisa’ ayat 128 yang bermaksud,

“Maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”

Takharruj atau muafakat ini merupakan kaedah melepaskan hak faraid secara sebahagian atau sepenuhnya. Ada beberapa syarat utama yang wajib dipenuhi terlebih dahulu.

Antara syarat utama bagi membolehkan kaedah ini diguna pakai adalah kesemua waris perlu tahu berapa jumlah dan bahagian faraid yang sebenar sebelum melepaskan hak mereka.

“Bagaimana jika ada waris yang tak seuju?”

Jika situasi sebegini berlaku, ia perlulah kembali kepada kaedah asal iaitu pembahagian secara faraid. Namun, ia berbeza mengikut situasi seperti yang dikongsikan oleh Roslina Sabiyah ini.

Situasi 1

Katakanlah waris yang layak merupakan lima (5) beradik yang terdiri daripada dua (2) orang lelaki dan tiga (3) orang perempuan. Kesemua mereka bersetuju untuk membahagikan harta secara sama rata.

Jika ini berlaku maka dua (2) orang anak lelaki tadi bersetuju untuk melepaskan bahagian faraid mereka kepada anak perempuan. Hal ini kerana bahagian bagi anak lelaki adalah dua (2) untuk setiap seorang dan bahagian anak perempuan pula adalah satu (1) untuk setiap seorang.

Maka, semua waris akan mendapat bahagian secara sama rata.

Situasi 2

Dalam situasi kedua yang dikongsikan, terdapat tiga (3) orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Anak-anak perempuan bersetuju untuk harta tersebut dibahagikan sama rata, namun anak lelaki tersebut tidak bersetuju.

Jadi, anak lelaki tersebut haruslah diberikan bahagiannya mengikut faraid terlebih dahulu iaitu sebanyak dua (2) bahagian. Bakinya barulah boleh dibahagi sama rata di antara tiga (3) orang anak perempuan tersebut.

Kaedah ini juga termasuk dalam pembahagian harta pusaka secara muafakat di mana sebahagian daripadanya telah difaraidkan dan bakinya pula dibahagikan sama rata.

Situasi 3

Untuk situasi seterusnya pula melibatkan tiga (3) orang anak perempuan dan dua (2) orang anak lelaki. Adik beradik perempuan inginkan harta dibahagikan secara sama rata manakala ia tidak dipersetujui oleh anak-anak lelaki tersebut.

Maka, kaedah asal secara faraid akan terpakai.

Kesimpulan Pembahagian Harta Pusaka

Sebagai penutup, untuk memudahkan pemahaman anda, di dalam  pembahagian harta ini, tiada istilah majoriti. Tiada siapa juga yang boleh dipaksa untuk melepaskan apa sahaja bahagiannya di dalam faraid tanpa kerelaannya.

Agak sukar untuk menggunakan kaedah secara muafakat kerana ada banyak faktor yang boleh menyebabkan isu berlaku seperti tidak sanggup untuk mendapat kurang daripada yang sepatutnya, campur tangan orang luar dan lain-lain lagi.

Apapun, jika tiada persetujuan yang berjaya dicapai, apa yang ada hanyalah pembahagian harta pusaka secara faraid sahaja. Sekian sahaja perkongsian kami untuk kali ini. Semoga bermanfaat!

Bantuan Pengurusan & Pentadbiran Harta Pusaka

konsultasi peguam harta pusaka
Klik butang di bawah jika anda ada masalah tentang pembahagian harta pusaka & perlukan khidmat nasihat daripada perunding pusaka & peguam pusaka kami.

1 thought on “Cara & Kaedah Pembahagian Harta Pusaka”

  1. Pingback: Pembahagian Faraid Harta Pusaka Ibu Ayah Meninggal - Solusi Kini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *